ELAK TERDEDAH STROK HABA




    10elak
    ALOR SETAR 10 Januari - Orang ramai dinasihatkan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak terdedah pada strok haba dan Hipertermia berikutan Kedah dan Perlis sedang dilanda cuaca panas dan kering, antara 33-35 darjah celcius.
    Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, suhu di kedua negeri itu lebih tinggi berbanding negeri lain berikutan kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka berterusan sehingga suku pertama tahun 2016 (Mac).
    “Rentetan suhu yang tinggi, kita boleh terdedah pada strok haba, iaitu paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 darjah celsius, di mana suhu badan individu normal adalah 37 darjah celcius. Jika berterusan, menyebabkan kandungan air dalam badan berkurangan sekaligus berpotensi menyebabkan dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma seterusnya kematian,” katanya.
    Menurutnya, orang ramai tidak wajar memandang remeh perkara ini terutama kanak-kanak dan warga emas.
    “Seeloknya kita ambil langkah pencegahan. Walaupun nampak mudah namun banyak manfaatnya,” katanya.
    Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai elakkan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas, minum air dalam kuantiti banyak atau minima 2.5 liter sehari, pakai pakaian dari 100 peratus kapas kerana bahan itu membenarkan penyejatan peluh yang maksimum, elakkan berjalan atau lakukan aktiviti atas permukaan panas seperti simen dan bitumen.
    “Bagi pelajar pula hendaklah mematuhi garis panduan Kementerian Pendidikan berhubung perkara ini,” katanya.
    Yong Kong turut menasihatkan orang ramai supaya berjimat cermat dalam penggunaan air berikutan fenomena El Nino boleh menyebabkan pengurangan jumlah hujan antara 20- 60 peratus serta kenaikan suhu antara 0.5-2.0 darjah celcius.
    “Jangan keruhkan lagi keadaan dengan melakukan pembakaran terbuka, jika terpaksa, ambil langkah awal keselamatan,” katanya.
    Sumber : Sinar