MUKHRIZ SEDIA UNDUR



8mukhriz
ALOR SETAR 8 November - Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir sedia mengundurkan diri daripada jawatan­nya itu jika tidak lagi mendapat sokongan rakyat negeri ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga mene­gaskan, beliau akan memberi laluan kepada mana-mana pemimpin UMNO untuk memegang jawatan tersebut selagi pengganti berkenaan mampu meyakinkan rakyat di negeri ini untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Ini bukan soal letak jawatan, apa yang saya maksudkan, jika rakyat Kedah tidak sokong saya sebagai Menteri Besar, maka saya bersedia undur diri dan serah pada mana-mana pemimpin yang dirasakan lebih popular dan mampu untuk meyakinkan rakyat menjelang PRU-14.
“Bagaimanapun, jika dirasakan rakyat masih bersama saya, saya mohon semua pihak beri kerjasama dalam pentadbiran saya untuk pastikan kita tetap mentadbir negeri ini selepas PRU-14 dan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara peringkat negeri yang diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kedah di sini hari ini.
Yang hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.
Mukhriz me­ngulas tentang status baharunya di Instagram hari ini yang antaranya menyatakan kesediaan beliau untuk mengundurkan diri jika rakyat sudah tidak menyokongnya lagi.
Tambah Mukhriz, beliau turut memohon kerjasama semua pihak termasuk mereka dalam parti yang berbeza pendapat dengannya untuk merapatkan jurang demi kejayaan pentadbiran di Kedah.
“Saya mohon semua pihak bersama dengan saya, semalam Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) juga kata benda yang sama.
“Kita nak rapatkan saf dan jurang yang sedia ada supaya apa sekali pun yang dilakukan kerajaan di peringkat kerajaan negeri dan pusat mendapat sokongan semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menegaskan UMNO masih kukuh di negeri itu walaupun isu pertukaran Menteri Besar dibangkitkan semula.
Katanya, sekalipun berlaku pertukaran Menteri Besar atau apa sahaja jawatan dalam kerajaan di peringkat negeri atau Persekutuan, ia merupakan amalan biasa sejak zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri.
Katanya, dalam hal ini, rakyat perlu memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan yang dibuat atas faktor kuasa prerogatif yang dimiliki.
“Pertukaran Menteri Besar Kedah sudah berlaku beberapa kali dan ini terpulang kepada Perdana Menteri, kalau beliau berpandangan perlu buat perubahan, sebagai ahli politik, kita kena terima dan begitu juga saya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali di Pasar Bayan Baru dan Little India, Pulau Pinang, hari ini.

Oleh : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan