MARTABATKAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU



2kerajaan
ALOR SETAR 2 November – Kerajaan Negeri akan terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja dalam urusan rasmi malah menjadikannya sebagai bahasa ilmu.
Keindahan bahasa Melayu dapat dilihat pada zaman Kerajaan Kedah Tua yang menggunakannya dalam persuratan ketika berurusan dengan kuasa besar Eropah pada zaman itu.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) tidak pernah berhenti membuat kajian di seluruh rantau Asia untuk mengutip sebarang maklumat berkaitan negeri ini. Maklumat itu sebahagiannya ditemui di Acheh, Indonesia, Selatan Thailand dan Perpustakaan British di United Kingdom.
“Apabila kita mengumpulkan maklumat itu sudah semestinya ia dibukukan dan menunjukkan betapa indahnya bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa persuratan antara Raja Melayu ketika itu. Saya sendiri pernah terbaca surat daripada Kerajaan Kedah kepada Francis Light di mana menggunakan panggilan Kekanda Datuk yang dihormati ketika itu yang turut dibalas Francis Light dalam suratnya dengan menulis bahasa Melayu,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.
Pada majlis itu, Kerajaan Negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Jaya Budiman Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diwakili Ketua Pengarah DBP, Dato’ Awang Sariyan dalam usaha menjalinkan kerjasama memartabatkan bahasa Melayu.
Mengulas mengenai MoU itu, Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama dengan DBP dalam usaha menjayakan apa juga hasrat Kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan pada kedudukan dan taraf yang sewajarnya.
“Misalnya membantu kami melalui kerjasama dalam Program Audit Bahasa Melayu pada peringkat Kerajaan Negeri serta Program Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan yang membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam urusan penggunaannya di papan tanda dan kawasan taman perumahan. Kita juga terbuka menerima teguran daripada DBP demi mengangkat martabat penggunaan bahasa kebangsaan,” ujarnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan; pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
Sumber : UMTK