SAYEMBARA SRIKANDI PANDU PUTERI



11permaisuri
LANGKAWI 11 Oktober - Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan menutup Sayembara Srikandi Pandu Puteri (SSPP) di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri.
Ketibaan Baginda pada jam 8.45 malam disambut oleh Ketua Pesuruhjaya Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM), Normala Baharudin dan Pengerusi Pengelola SSPP, Chempaka Emalin Pahamin.
Selain itu, Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah yang juga Penaung DiRaja PPPM turut berkenan menyampaikan hadiah dan sijil kepada pemenang sayembara.
Seramai 480 ahli PPPM dari seluruh negara dan antarabangsa termasuk dari Bangladesh, Sri Lanka, Filipina, Brunei dan Thailand menyertai sayembara yang berlangsung di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Langkawi.
Berucap pada majlis itu, Chempaka Emalin berkata, penganjuran acara itu memberi peluang kepada ahli pandu puteri remaja mengasah bakat dalam bidang seni, selain mengeratkan hubungan silaturahim.
“Sayembara ini bercorak pertandingan membabitkan acara silat, kompang, tarian dan dikir barat yang dijayakan oleh ahli-ahli Pandu Puteri selepas mendapat bimbingan jurulatih. Mereka tiba di Langkawi dari pelbagai latar belakang, kemudian mereka diagihkan dalam beberapa kelompok sebelum menjalani latihan dengan bimbingan guru dalam acara seni berkenaan. Persembahan setiap kumpulan termasuk peserta antarabangsa dinilai juri bagi penentuan pemenang,” jelasnya.
Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Langkawi, YB. Dato’ Nawawi Ahmad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan.
Sumber : UMTK