FREEMARKET DAPAT SAMBUTAN



11freemarket
ALOR SETAR 11 Oktober– Barangan percuma yang diletakkan pada Program Freemarket @ zakatkedah di Perkarangan Menara Zakat, Jalan Telok Wanjah habis lebih awal dari masa yang ditetapkan.
Ketua Bahagian Korporat Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK), Mohd Sani Harun berkata, pemberian barangan percuma sedemikian dilakukan mereka buat pertama kalinya.
“Bagaimanapun, sungguh mengejutkan apabila kami mendapati program yang diadakan ini mendapat sambutan menggalakkan apabila barangan didapati habis lebih awal dari masa yang ditetapkan. Dianggarkan, lebih 500 golongan asnaf tidak melepaskan peluang memilih barangan yang diperlukan mereka terutamanya pakaian dalam acara berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, program berkenaan diadakan bagi meringankan beban golongan asnaf, sekaligus membantu mereka mendapatkan barangan yang diperlukan. Ada di antara golongan asnaf berkenaan memakai baju yang sama sekian lama tanpa ditukar disebabkan tidak mampu membeli pakaian baru.
Beliau menjelaskan, pihaknya gembira melihat reaksi asnaf berkenaan terutamanya golongan kanak-kanak yang teruja memilih barangan diperlukan mereka. Sumbangan barangan seperti pakaian, alat permainan, peralatan elektrik dan buku berkenaan diberikan pihak tertentu seperti orang-perseorangan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan Kindness Malaysia.
Untuk itu, katanya, pihak JZNK merancang untuk meneruskan aktiviti Freemarket @ zakatkedah secara bulanan di setiap daerah selepas ini. Pihaknya turut berharap orang awam menyokong usaha melaksanakan program secara berterusan melalui sumbangan barangan keperluan.
Bagi mereka yang berhasrat untuk memberi sumbangan boleh ke Pejabat JZNK atau pun melayari laman web: www.facebook.com/zakatkedah untuk maklumat lanjut.
Sumber : UMTK