SUNGAI PETANI 14 September – Pencapaian terbaik pelajar dalam akademik membuktikan bidang pendidikan di negeri ini semakin meningkat yang secara tidak langsung menjaminkan masa depan yang lebih cemerlang dalam pembangunan pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Perumahan, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain berkata, pencapaian cemerlang bidang pendidikan itu juga membuktikan komitmen tinggi Kerajaan Negeri untuk menjadikan pendidikan sebagai agenda utama pembangunan negeri ini.
“Kita cukup berbangga dengan kejayaan pelajar-pelajar hari ini yang menunjukkan bahawa Negeri Kedah telah mencapai tahap pendidikan yang membanggakan,” jelasnya ketika berucap pada majlis perasmian Hari Anugerah Cemerlang dan Gelanggang Sepak Takraw di Sekolah Kebangsaan Merbok Pusat.
Menurutnya, kejayaan itu adalah berkat usaha gigih dan kesungguhan pelajar di samping dorongan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa serta guru. Tanpa bantuan dan sokongan guru-guru serta ibu bapa, pelajar tidak mungkin akan mencapai kejayaan dalam bidang pendidikan.
“Saya berharap ibu bapa dan guru-guru akan terus bekerjasama dalam memastikan kejayaan cemerlang anak-anak berterusan demi masa depan mereka. Pencapaian cemerlang pelajar-pelajar dalam akademik harus dimantapkan dengan sahsiah mulia serta jati diri yang cemerlang,” ujarnya.
Tambahnya, sesuatu kejayaan bukan datang bergolek, sebaliknya kejayaan itu memanifestasikan kemantapan perancangan dalam mengukuhkan kecemerlangan pendidikan. Anak-anak yang cemerlang akan terus memburu kecemerlangan bagi memastikan dunia pendidikan menjadi agenda utama dalam memajukan negeri ini.
Sumber : UMTK