HOSPITAL PAKAR DI LANGKAWI



19hospital
ALOR SETAR 19 Ogos - Kerajaan negeri akan memohon untuk menaik taraf Hospital Langkawi menjadi hospital pakar utama bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di pulau legenda tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan India, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr. Leong Yong Kong berkata, status Hospital Langkawi sebagai hospital pakar minor menyebabkan sering berlaku kesesakan di wad akibat kekurangan katil dan pesakit juga terpaksa di hantar ke hospital lain disebabkan ketiadaan pakar.
“Hospital Langkawi hanya mempunyai 150 katil untuk pelbagai jabatan dan hanya ada lapan pakar seperti pakar pembedahan am, pakar kanak-kanak, pakar rawatan kecemasan dan lain-lain lagi ditempatkan di situ.
“Jadi sebagai langkah untuk mengatasi masalah kesesakan di wad dan kekurangan pakar, kita mungkin akan pohon hospital berstatus pakar major untuk Hospital Langkawi,” katanya ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-13 di sini hari ini.
Menurut Leong Kong, selain daripada cara itu, kerajaan negeri juga akan mempertimbang permohonan daripada pihak swasta untuk membuka hospital swasta di Pulau Langkawi.
“Walaupun cara ini tidak dapat menyelesaikan dengan segera masalah yang dihadapi di Hospital Langkawi, sedikit sebanyak ia dapat mengatasi kesulitan yang dihadapi penduduk pulau tersebut,” ujarnya.
Tambah beliau, status tanah Hospital Langkawi yang merupakan hak milik Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) juga tidak mendatangkan sebarang kontroversi memandangkan pihak LADA bersetuju membantu memberi sumbangan kepada negeri ini.
“Soal tanah ini tidak menjadi masalah kerana saya rasa LADA akan terus bantu kerajaan dengan me­nyumbangkan tanah untuk hospital,” jelasnya.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai bot ambulans yang didakwa sering rosak sehingga menyukarkan urusan penghantaran pesakit ke tanah besar, Leong Kong berkata, beliau akan meminta pihak yang mengendalikan bot ambulans tersebut agar segera mengatasi perkara itu.
Oleh : Safina Ramli
Sumber : Utusan