BANDAR RAYA GETAH DIBINA 2016



18bandar
ALOR SETAR 18 Ogos - Projek Bandar Raya Getah di Padang Terap dijangka menerima peruntukan bagi memulakan projek tersebut daripada Kerajaan Pusat selewat-lewatnya awal Mac 2016.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, projek tersebut mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Pusat dan peruntukan yang diterima dijangka merangkumi kos pengambilan tanah dan juga pembangunan infrastruktur.
“Kalau boleh kita nak memulakan proses pengambilan tanah pada awal tahun ini, namun pada awal Mac 2016 dijangka kita dapat peruntukan Kerajaan Pusat. Jadi kita kena tunggu tahun depan untuk memulakan projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Kama Noriah Ibrahim (BN-Pedu) pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-13 di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah sebenar peruntukan yang akan diterima itu akan ditentukan apabila Jabatan Penilaian menyelesaikan proses penilaian tanah di kawasan Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap yang akan dijadikan Bandaraya Getah itu.
Tambah Ku Abdul Rahman, sebelum ini kawasan yang dicadangkan untuk dijadikan lokasi projek itu ialah di Durian Burung.
“Namun kerana keadaan tanah yang berbukit-bukau sehingga menyukarkan proses pembangunan, kawasan projek tersebut ditukar di Ladang Bukit Ketapang,” jelasnya.
Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ir Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) mengenai penyertaan syarikat swasta dalam projek itu, beliau memberitahu, terdapat beberapa syarikat yang menghasilkan barang­an berasaskan getah berminat untuk melabur di dalam projek tersebut.
“Walaupun keadaan ekonomi dunia dan negara mengalami sedikit kemerosotan minat untuk pelabur melabur di dalam projek ini amat tinggi.
“Sebagai contoh ada syarikat yang menghasilkan sarung tangan getah di Sepang amat berminat me­labur di sini dan hanya menunggu projek ini dijalankan,” ujarnya.
Sumber : Utusan