PEMUDA OKU BERJALAN SEJAUH 750KM UNTUK BERAMAL


ALOR SETAR 10 Jun – Walaupun kudrat dimiliki tidak setanding insan normal disebabkan kudung kedua-dua tangan, namun ia tidak menghalang niat seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menempuh perjalanan sejauh 750 kilometer dari Perlis ke Melaka bagi mengumpul dana ‘Kempen Tabung Makan Malaysia 2015’.
Begitu usaha dilakukan Ikon Belia, Muhammad Zhariff Afandi, 35 tahun yang memulakan perjalanan dari Wang Kelian, Perlis melalui Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan sebelum dijangka tiba di Melaka pada 23 Mei 2015.
Muhammad Zhariff Afandi berkata, walaupun dirinya tidak sempurna kerana tidak mempunyai tangan, namun bukan halangan untuknya gigih bersama rakan mengutip dana bagi membantu golongan kurang bernasib baik dengan berjalan kaki selama 35 hari.
Menurutnya, dia menyahut cabaran itu bagi membuktikan insan sepertinya mampu menyumbang sesuatu kepada negara, seterusnya membantu orang susah tanpa mengira kaum dan latar belakang agama.
“Sasaran kami untuk mengumpul dana sebanyak RM3.5 juta dan wang itu boleh digunakan untuk membantu mangsa banjir di Kelantan yang hilang tempat tinggal dan makanan tidak mencukupi. Kempen ini bukan hanya tertumpu kepada bantuan di negeri itu tetapi membantu sesiapa saja yang susah dan memerlukan bantuan terutama makanan,” jelasnya.
Beliau ditemui pemberita selepas disambut Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Dato’ Badrol Hisham Hashim sebaik tiba di Masjid Alor Merah pada jam 5.15 petang sebelum ke Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon.
Muhammad Zhariff yang berasal dari Kuala Lumpur berkata, 15 peserta berusia 24 hingga 65 tahun terdiri daripada pelbagai kaum turut serta dalam kempen itu bagi membuktikan rakyat Malaysia sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan.
Sumber : UMTK