LEBIH 50 MENARA T3 BAKAL DI BINA DI KEDAH



6meningkatkan
 
ALOR SETAR 1 Jun – Lebih 50 lagi menara peluasan liputan selular (T3) bakal dibina di seluruh Kedah untuk menyelesaikan masalah rangkaian telekomunikasi rakyat khususnya di kawasan luar bandar.
 
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB.Dato’ Norsabrina Mohd Nor berkata, Kerajaan Pusat melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merancang untuk membina 1,000 menara berkenaan di seluruh negara.
 
Menurutnya, jumlah berkenaan sebagai tambahan kepada 40 menara T3 yang dibina pada tahun lalu dengan enam di Pedu, Padang Terap. Projek T3 adalah sebahagian daripada inisiatif jalur lebar negara terutamanya bagi kemudahan telefon selular dan internet serta merapatkan jurang antara penduduk bandar dan luar bandar.
 
Beliau memberitahu, bagaimanapun terdapat beberapa isu teknikal perlu ditangani serta dinaiktarafkan berhubung menara berkenaan apabila berlaku masalah panggilan dan internet tidak jelas. Hal ini berikutan menara T3 hanya menawarkan perkhidmatan 2G sahaja disebabkan kapasiti kecil di kawasan pedalaman dan masalah berkenaan bukan sahaja berlaku di Kedah tetapi juga seluruh negara.
 
“Hasil perbincangan dengan SKMM, mereka memutuskan untuk menaiktarafkan sistem sedia ada kepada teknologi ‘microwave’ dan sambungan fiber bagi menyelesaikan masalah penyampaian 3G. Proses menaiktaraf sistem melibatkan kos yang tinggi dan perlu peruntukan dari Kerajaan Pusat,” ujarnya.
 
Sumber : UMTK