KEDAH CATAT PELABURAN YANG MEMBERANGSANGKAN



6negeri
BUKIT KAYU HITAM 6 Mei - Negeri Kedah telah mencatatkan pelaburan sebanyak RM5,285,215,268 merangkumi pelaburan asing berjumlah RM4,516,895,351 dan pelaburan domestik sebanyak RM768,319,917 sepanjang tahun 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, YB. Dato’ Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, Kedah berada pada kedudukan kelima keseluruhan daripada 14 negeri selepas Johor, Sarawak, Pulau Pinang dan Selangor berdasarkan jumlah pelaburan yang diluluskan.
“Kerajaan Negeri berharap untuk mengekalkan momentum ini pada masa akan datang dalam menjadikan Negeri Kedah sebagai destinasi pilihan oleh pelabur dari dalam dan luar negara,” jelasnya pada Program Gotong-Royong di Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam.
Menurutnya, Kerajaan Negeri telah merancang sebanyak enam projek katalitik dan berimpak besar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11). Antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim, Bandaraya Aero Kedah di Kulim, Lebuhraya Sungai Petani – Kedah Inner Expressway, Bandaraya Getah Kedah di
Daerah Padang Terap, Bandaraya Sains Perubatan Kedah di Daerah Bandar Baharu serta Taman Sains dan Teknologi Kedah di Bukit Kayu Hitam.
“Projek Taman Sains dan Teknologi Kedah akan dibina di atas tanah seluas 1,933 ekar milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) di kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam,” ujarnya.
Beliau memberitahu, tumpuan juga tetap diberikan bagi menarik dan memperkasakan pelaburan di Kulim Hi-Tech Park dan pembangunan beberapa projek lain yang berpotensi seperti Kedah Integrated Fishery Terminal, Automotive Hub di Gurun dan High Precision Machining Centre di Kulim Hi-Tech Park.
Sementara itu, katanya, objektif utama program itu diadakan adalah bagi memastikan persekitaran kawasan industri lebih menarik dan kondusif bagi menarik pelaburan baru serta mengekalkan pelabur-pelabur yang sedia ada.
Sumber : UMTK