Sektor Pertanian Jana Pendapatan Penoreh

11penoreh

SERDANG 11 Febuari – Penoreh getah di Mukim Sungai Batu bakal mempunyai pendapatan tetap melalui alternative yang akan dibangunkan Kerajaan Negeri di kawasan berkenaan dengan penanaman pisang, nenas dan betik bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, selain memberi sumbangan barangan makanan kepada penoreh untuk meringankan beban mereka, Kerajaan Negeri juga turut mencari alternatif untuk membantu golongan penoreh mendapatkan pendapatan tetap.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu menegaskan, penggunaan inovasi dan teknologi dalam pertanian juga akan digunakan di kawasan itu yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penanaman pisang, nenas dan betik.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan beliau bersetuju. Kita akan guna teknologi dalam penanaman iaitu agrikultur yang mampu memberi pulangan lumayan kepada penoreh. Kita juga sedang berusaha mengkaji dan membuat produk hiliran getah yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi berbanding menjual getah asli,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk Mukim Sungai Batu.

Menurutnya, peruntukan untuk program penanaman itu akan diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan koridor Utara (NCIA) dan masih berada dalam perbincangan. Biji benih, baja dan yang berkaitan dengan rancangan ini akan diperoleh daripada NCIA, selain dana untuk melaksanakannya.

Sumber : UMTK