Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air

11penstrukturan

ALOR SETAR 11 Febuari – Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kedah mampu mengatasi segala isu berkaitan kemudahan itu, terutama di Langkawi yang dijangka meruncing menjelang 2020.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan Syarikat Air Darul Aman (SADA), keseluruhannya status bekalan air di Kedah dinilai baik dan seimbang, namun peningkatan keperluan berikutan perkembangan semasa terutama di dua lokasi tumpuan industri yang agak pesat iaitu di Langkawi dan Taman Teknologi Tinggi Kulim perlu diambil kira.

“Saya dimaklumkan ada kawasan yang mengalami masalah tekanan air rendah di beberapa daerah seperti di Padang Terap, Pokok Sena dan Kuala Muda. Selain itu, di Langkawi juga saya dimaklumkan keadaannya dijangka meruncing pada masa depan iaitu menjelang 2020 kerana perkembangan pesat dialami sektor pelancongan di pulau itu,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Pejabat SADA.

Mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kedah, beliau menjelaskan, sehingga kini di peringkat perbincangan dengan Kerajaan Negeri, namun kementerian yakin Kedah tidak berdepan masalah untuk menyertai enam negeri lain yang sudah memuktamadkan rundingan berkenaan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Dato’ Adzmi Din dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Harjeet Singh.

Sumber : UMTK