LANGKAWI 5 Febuari – Kesukaran untuk membawa jenazah dari pulau ini
ke tanah besar dan sebaliknya tidak lagi timbul apabila Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan melancarkan bot
khidmat khas.
YB. Nor Saidi Nanyan berkatak, bot berharga RM62,000 yang diurus dan
diselenggarakan oleh Pusat Khidmat ADUN Kuah itu membolehkan urusan
membawa jenazah menjadi lebih mudah, lancar dan cepat. Dengan adanya
kemudahan bot itu, waris yang menguruskan penghantaran jenazah tidak
perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri penumpang yang mengambil masa
lama.
“Alhamdulillah dengan peruntukan dari Kementerian Kewangan, kita
dapat membeli bot ini dan dapat menyelesaikan sebahagian masalah
penduduk untuk membawa jenazah apabila berlaku kematian. Sebelum ini
penduduk merungut kerana terpaksa menunggu masa yang lama untuk membawa
jenazah selain kadar sewa tinggi antara RM800 dan RM1,000 yang dikenakan
oleh pengusaha bot persendirian,” ujarnya.
Menurutnya, beliau memberi kepercayaan kepada Ahli Jawatankuasa
Kariah Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu bagi urusan penjagaan dan
penyelenggaraan bot itu. Jawatankuasa masjid itu telah menawarkan
perkhidmatan penyelenggaraan bot secara percuma, manakala bagi urusan
membawa jenazah dan kes kecemasan akan dikenakan caj yang minimum.
“Ini kerana penduduk di Pulau Tuba dan Dayang Bunting berjumlah lebih
4,000 orang turut memerlukan
khidmat bot khas ini bagi kes kecemasan
yang sering dihadapi mereka tanpa mengira waktu. Bot yang diperbuat
daripada gentian kaca dan dilengkapi enjin Yamaha 200 kuasa kuda itu
hanya mengambil masa kira-kira setengah jam dari Langkawi ke Kuala
Perlis,” jelasnya.
Sumber : UMTK