Tapak Warisan Lembah Bujang

26tapak

Oleh Opat Rattanachot

SUNGAI PETANI 25 November - Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, langkah berkenaan termasuklah mendapatkan pengikrafan daripada badan antarabangsa bagi memperakui bahawa kawasan Lembah Bujang atau Kedah tua merupakan pusat peradaban yang amat gemilang suatu ketika dahulu.

Kita menyedari bahawa di sekitar Lembah Bujang inilah segalanya bermula. Tamadun ini dikatakan bermula lebih 2,500 tahun dahulu dan dikenali sebagai Kataha, Kadaram, Sai, Kalah Bar, Cheh-cha dan Langkasuka.

“Kawasan ini cukup bersejarah, bukan sahaja sebagai sebuah penempatan tetapi sebagai pusat pentadbiran kerajaan silam yang begitu agung malah menjadi tumpuan pedagang serta cerdik pandai dari dalam Dunia Melayu Nusantara serta rantau Arab, India dan China. Pakar-pakar sejarah percaya ia jauh lebih agung dari Angkor Wat di Tanah Champa dan Borobudur di Tanah Jawa. Warisan sejarah ini adalah khazanah negeri yang tidak ternilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutupan Minggu Pelancongan Kedah Tua 2014 anjuran Biro Belia Cina Negeri Kedah dan Pertubuhan Pembangunan Pelancongan Dan Kesenian Kedah Tengah di Pekan Semeling, dekat sini malam tadi.

Yang hadir bersama ialah Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan negeri, Datuk Dr. Leong Yong Kong; Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia, Pelancongan negeri, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md. Zain.

Mukhriz berkata, pihaknya percaya langkah mendapatkan pengiktirafan itu memberikan manfaat yang besar kepada para penduduk setempat khususnya dalam bidang ekonomi dan pelancongan.
Dalam perkembagan berkaitan, beliau memberitahu, Kerajaan Negeri kini turut bergiat aktif memperbanyak dan memperkenalkan produk pelancongan di Kedah.

“Matlamat kita adalah untuk menyedarkan orang ramai, khususnya para pelawat bahawa pelancongan di Kedah bukan setakat di Langkawi tetapi tanah besar Kedah turut menyajikan pelbagai keistimewaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar turut serta memberikan pandangan dan buah fikiran secara kreatif dalam usaha memajukan pelancongan negeri Kedah pada masa akan datang.

Sumber : Utusan