Litar Kedah Jadi Pusat Sukan Permotoran

2litar
SEPANG 2 November - Negeri Kedah Darul Aman bakal mempunyai sebuah litar lumba dalam dunia sukan permotoran bagi Wilayah Utara.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri akan membina litar berkenaan sepanjang 1.6 kilometer di kawasan seluas 173 ekar di Sungai Petani dan dijangka siap menjelang 2016 atau 2017.

“Kerajaan Negeri juga merancang membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim berhampiran Sungai Petani. Dengan adanya litar perlumbaan bertaraf antarabangsa, mereka yang berbakat dan berkemahiran akan mendapat banyak peluang dan tidak perlu berpindah ke Lembah Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai pembinaan litar lumba antara Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Pengurus Besar PMBKed , Dr Mahadi Mohamad dan Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Dato’ Razlan Razali masing-masing menandatangani MoU itu.

Menteri Besar menjelaskan, litar lumba yang dicadangkan itu akan mengandungi trek perlumbaan, kawasan perlumbaan luaran, laluan drag, tempat duduk grandstand dan bukit, bangunan paddock serta premis kedai.

“Saya berharap litar lumba berkenaan akan merintis masa depan yang lebih cerah untuk belia melalui persekitaran perlumbaan yang lebih selamat, selain membendung lumba haram,” ujarnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi SIC, Tan Sri Mokhzani Mahathir dan Ketua Pegawai Eksekutif Dorna, Carmelo Ezpeleta.

Sumber : UMTK