Kedah Sasar Keluaran Beras Cecah 35 Peratus

5kedah

ALOR SETAR 5 November– Kerajaan Negeri komited dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai pengeluar bekalan makanan utama negara terutama pengeluaran berasnya agar mencapai sasaran 35 peratus berbanding 31 hingga 32 peratus ketika ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, golongan petani perlu memainkan peranan melipatgandakan lagi usaha dengan menggunakan kaedah teknologi dan pengurusan terkini meningkatkan kualiti hasil dan mendapat pulangan lebih tinggi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Kedah 2014 di Taman Jubli Emas, Jalan Suka Menanti.

Menurutnya, jaminan bekalan makanan adalah penting kerana Kedah sejak sekian lama memainkan peranan. Beliau turut merasa bimbang kerana peratusan beras yang dibekalkan pada tahap 31 dan 32 peratus ketika ini, jadi kita nak tingkatkan kepada 35 peratus.

“Saya lihat kita tidak ada pilihan lain daripada menggunakan teknologi baru untuk tingkatkan hasil. Namun dari segi kualiti padi dan beras kita masih terkenal dengan mutu tinggi dan kita akan kekalkan itu selain pada masa yang sama, kita terus berusaha tingkatkan kuantiti beras kita juga,” ujarnya.

Tambahnya, Kerajaan sentiasa prihatin untuk membantu peladang dan nelayan serta meningkatkan kesejahteraan kehidupan mereka dengan pemberian beberapa bentuk subsidi, insentif serta bantuan.

“Di Kedah, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah membina tujuh pusat pengumpulan atau belian padi dengan peruntukan sebanyak RM2.28 juta yang mana kesemua pusat berkenaan telah beroperasi dengan kerjasama pihak Padiberas Nasional Berhad (BERNAS),” jelasnya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob; Timbalan Setiausaha Kerajaan (Bahagian Pembangunan), Dato’ Haji Bakar Din dan Pengurus Besar Syarikat Perniagaan Peladang (MADA) Sdn Bhd, Mohd Dhia Ul-Rahman Ab. Manan.

Sumber : UMTK