Oleh Mohd. Rafie Azimi
KUBANG PASU 24 Oktober - Kesenian Mek
Mulung yang wujud sejak lebih 400 tahun lalu diisytiharkan sebagai Seni
Warisan Kedah yang akan dipelihara dan diangkat ke peringkat
antarabangsa bagi memastikannya tidak luput ditelan zaman.
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun
Mahathir berkata, pengiktirafan itu dibuat setelah mengambil kira fakta
bahawa Kedah merupakan satu-satunya negeri di mana Mek Mulung sudah
dimainkan dari generasi ke generasi sejak sekian lama.
“Susulan pengiktirafan ini, pelbagai
usaha akan digerakkan Kerajaan Negeri dengan kerjasama pihak tertentu
khususnya, Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dan Kumpulan
Bina Darulaman Bhd. (BDB) untuk membawa Mek Mulung ke peringkat nasional
dan antarabangsa.
“Usaha tersebut diharap mampu membuka
jalan untuk membolehkan Mek Mulung dipertimbangkan sebagai warisan dunia
oleh Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan
Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap
pada Majlis Perasmian Sidang Kemuncak Penulis Malaysia dan Pelancaran
Buku Mek Mulung di Darulaman Golf & Country Club, Jitra, di sini
hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan BDB,
Datuk Izham Yusoff; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ITBM,
Mohd. Khair Ngadiron, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia
(Pena), Dr. Mohamad Saleeh Rahamad serta Pengarang Utusan Malaysia,
Datuk Hassan Mohd. Noor.
Persidangan selama tiga hari bermula
hari ini mengumpulkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada kalangan
penulis dan sasterawan tempatan.
Mukhriz dalam pada itu turut mengumumkan
penubuhan Yayasan Penulis Malaysia yang bertujuan menyatupadukan rakyat
berbilang bangsa menerusi penulisan selain membantu Malaysia mencapai
matlamat sebagai negara maju bertamadun besar.
“Penubuhan pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) ini merupakan penghargaan serta tanda sokongan kepada industri
penulisan negara. Diharapkan semoga yayasan ini dapat menggerakkan
industri penulisan negara menjadi lebih aktif,” ujarnya.
Mengulas mengenai persidangan tersebut,
Mukhriz menganggap penganjurannya sebagai rahmat bagi negeri ini kerana
ia secara tidak langsung membawa masyarakat untuk turut serta dalam
perjuangan membentuk gagasan baharu sastera negara yang sememangnya
diketahui umum menjadi antara kayu ukur tamadun sesebuah bangsa.
“Sedar atau tidak, sastera adalah bidang
seni kreatif yang mempunyai keupayaan besar untuk membangunkan nilai
kemanusiaan tinggi pada setiap individu dan menuntut penulis mencari
jalan untuk merawat dan memulih jiwa masyarakat majmuk di negara ini
menerusi penulisan.
“Hakikatnya, penulis tidak hanya perlu
kreatif malah perlu memiliki semangat sebagai seorang pejuang, jiwa
patriotik, azam, kesungguhan dan kemahuan besar untuk melahirkan karya
yang mampu menyatukan masyarakat,” katanya.
Sumber : Utusan