Aktif Bilik Kuarantin Di Sempadan

28aktif

ALOR SETAR 28 Oktober– Semua bilik kuarantin di pintu masuk sempadan negeri dan lapangan terbang sudah diaktifkan bagi menjalankan pemantauan rapi terhadap wabak Ebola.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, bilik kuarantin itu kini ditempatkan di pintu masuk sempadan utama iaitu di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Bukit Kayu Hitam dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim.

Beliau berkata, langkah itu adalah persediaan awal bagi menangani isu wabak Ebola yang berkemungkinan besar boleh disebarkan oleh pelancong asing yang berkunjung ke negeri ini.

“Kita sudah melakukan persiapan secukupnya bagi mengesan penyebaran penyakit Ebola termasuk mengambil langkah proaktif ketika menyambut kepulangan jemaah haji baru-baru ini. Malah, sejak awal lagi ketika penyakit itu menunjukkan tanda serius terutama di negara Afrika Barat, Kementerian Kesihatan sudah mengeluarkan arahan kepada setiap Pejabat Kesihatan Negeri supaya mengambil langkah sepatutnya,” ujarnya.

Selain itu, katanya, semua kakitangan kesihatan yang terbabit diarahkan supaya memakai peralatan perlindungan persendirian bagi mengelakkan jangkitan.

Sumber: UMTK