HSAH Anjurkan Kempen Jom Sihat

SUNGAI PETANI 27 September. - Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) menganjurkan Kempen Jom Sihat Bersama Komuniti 2014 di Kampung Simpor Kecil, Kota Kuala Muda di sini, baru-baru ini.

Seramai 56 kakitangan hospital itu dipilih untuk tinggal bersama keluarga angkat selama dua hari dengan menjalankan pelbagai aktiviti di kampung tersebut.

Urus setia kempen itu, Norejan Nordin berkata, penduduk kampung tersebut berpeluang mendengar ceramah mengenai pendermaan organ, bahaya merokok dan alkohol pada program tersebut.

"Program yang dianjurkan ini berjaya mengeratkan hubungan antara kakitangan hospital dengan penduduk tempatan.

"Kami berbangga kerana program ini mampu mendedahkan penduduk dengan amalan hidup sihat," katanya di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpor Kecil, Mustafa Husain memberitahu, ceramah yang disampaikan oleh kakitangan HSAH boleh dijadikan panduan asas kepada penduduk dalam menjayakan amalan cara hidup sihat.

"Penduduk kampung sering terdedah dengan pelbagai kes penyakit berjangkit, termasuk masalah nyamuk aedes.

"Melalui nasihat yang diberikan, penduduk mendapat ilmu dan mula membersihkan kawasan rumah sendiri bagi mengelak penyakit ini daripada merebak," ujarnya.

Sementara itu, seorang peserta kempen itu, Nur Nadiah Abdul Rahim, 23, dari Jalan Pengkalan Sungai Petani berkata, langkah HSAH bagi melaksanakan pelbagai aktiviti dengan penduduk kampung adalah tepat.

"Sebagai seorang penuntut di Universiti Utara Malaysia (UUM), saya gembira kerana di samping menjalani latihan di HSAH saya mempelajari ilmu berkaitan bidang kesihatan dan perubatan melalui ceramah yang disampaikan," katanya

Sumber : UTUSAN