Tapak Arkeologi Bakal Jadi Produk Pelancongan Nasional

4tapak
ALOR SETAR 4 September – Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk menaiktaraf tapak arkeologi Lembah Bujang di Sungai Batu, Merbok sebagai produk pelancongan nasional.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, penglibatan Kerajaan Persekutuan dalam usaha tersebut mampu mempercepatkan kerja-kerja penerokaan sejarah di kawasan berkenaan.

“Sekiranya usaha meneroka tamadun Kedah diserahkan kepada Kerajaan Negeri adalah terlalu lambat untuk mendapatkan bukti tentang kewujudan tamadun lama di situ kerana memerlukan peruntukan yang banyak. Oleh yang demikian, kita cadangkan supaya Kerajaan Persekutuan di bawah Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan dapat mengambil alih kerja-kerja tersebut,” ujarnya.

Menurutnya, cadangan itu telah mendapat persetujuan daripada Timbalan Perdana Menteri, YAB. Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa beliau hadir pada Majlis Persidangan Antarabangsa Sejarawan Asia Kali Ke-23 di Hotel Tabung Haji, di sini baru-baru ini.

Beliau menjelaskan, kemungkinan juga terdapat puluhan kapal-kapal besar yang karam di dalam perairan berhampiran pada suatu ketika dahulu. Ini bukan kemampuan Kerajaan Negeri sekiranya tidak mendapat bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menerokanya.

“Ia memerlukan peruntukan sebanyak RM50 juta. Sehubungan itu, adalah lebih baik sekiranya kerja-kerja menaiktaraf dan penerokaan dibuat oleh Kerajaan Persekutuan. Kerajaan Negeri kini sedang menyiapkan kertas kerja supaya kementerian berkenaan dapat membentangkannya kepada Kabinet,” katanya.

Sumber : UMTK