Pembangunan Bukit Wang Akan Dibincangkan

4bukit
ALOR SETAR 4 September – Jabatan Perhutanan Negeri Kedah diminta mengemukakan cadangan kepada Kerajaan Negeri untuk melakukan pembangunan, membaik pulih dan penyelenggaraan di Taman Rimba Rekreasi Bukit Wang, Jitra yang terbiar sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, melalui cadangan itu juga sebarang peruntukan boleh dipohon melalui Kerajaan Negeri atau Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.

Menurutnya, pihak Jabatan Perhutanan perlu melihat kaedah yang diperlukan sama ada akan menguruskan sendiri kawasan itu atau menyerahkan kepada pihak swasta. Hal ini bergantung kepada pihak Jabatan Hutan, ia juga boleh diserahkan kepada Majlis Daerah untuk diuruskan supaya taman rekreasi itu dapat diberi nafas baru secepat mungkin,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hutan Negeri Kedah, Ku Azmi Ku Aman berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dalam masa terdekat.

Tambahnya, perbincangan berkenaan bertujuan untuk mengemukakan cadangan-cadangan dan program baru yang akan dilaksanakan di taman rekreasi berkenaan. Pihaknya sememangnya mempunyai perancangan yang telah dikenal pasti untuk membangunkan semula kawasan itu. Perkara itu terlebih dahulu akan dibincangkan dan dilaksanakan selepas mendapat persetujuan Menteri Besar,” katanya.

Sumber : UMTK