Selesaikan Segera Masalah Rakyat

23kerajaan
                                                                 MUKHRIZ

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

KUBANG PASU 27 September - Para penjawat awam diseru untuk segera menyelesaikan apa jua masalah dihadapi rakyat terutamanya berkaitan kelulusan pelbagai perkara bagi menutup ruang kepada perbuatan tidak berintegriti yang mampu mencalar imej pentadbiran negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, langkah itu juga penting bagi membina keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara di samping mampu mendatangkan pelbagai manfaat termasuk merancakkan pembangunan negeri.

"Perlu diakui, apabila terlalu lama masa diambil untuk menyelesaikan sesuatu permohonan, maka tindakan itu membuka peluang kepada amalan tidak berintegriti.

"Jika itu berlaku, apa jua perancangan yang dirangka kerajaan negeri hanya tinggal perancangan semata-mata. Tak mungkin kita mampu melaksanan pembangunan dengan cara sebegitu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Kempen Merakyatkan Agenda Integriti Negeri di Dewan Wawasan, di sini baru-baru ini.

Selain beberapa exco kerajaan negeri, lebih 1,000 penjawat awam turut hadir ke majlis berkenaan.

Beliau menambah, kepentingan integriti bukan sekadar menjadi pemangkin kepada transformasi, malah apa yang lebih penting adalah integriti hendaklah dilihat sebagai ukuran kepada kejayaan transformasi.

"Dalam erti kata lain, tidak ada maknanya jika kita memperoleh kejayaan sesuatu proses transformasi itu, sedangkan amalan baik yang membenih dan menyuburkan nilai integriti tidak digarapkan bersama dalam proses transformasi tersebut.

"Etika dan integriti seharusnya menjadi budaya dan ‘pakaian’ masyarakat dalam kehidupan harian. Harus disedari, nilai integriti tidak terhad kepada sesetengah perkara saja sebaliknya perlu ditampilkan dalam semua tindakan sama ada melalui penampilan, sikap dan kebijaksanaan membuat tindakan," katanya.

Sumber : UTUSAN