Pengezonan Kawasan Tangkapan Ikan Disokong

4zon
KUBANG PASU 4 Jun - Lebih 6,000 nelayan pantai Kedah dan Perlis menyifatkan langkah Jabatan Perikanan untuk menguatkuasakan pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di pantai Barat adalah tepat dan mampu memelihara sumber perikanan di negara ini.

Pengerusi Jaringan Bertindak Nelayan Pantai Kedah, Che Ani Mat Zain berkata, pengezonan itu memberi banyak faedah kepada nelayan pantai dan mampu mengurangkan pencerobohan bot pukat tunda ke kawasan nelayan pantai.

“Langkah ini sepatutnya diambil sejak dahulu lagi, kami mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Perikanan yang akhirnya membuat keputusan yang tepat.

“Sumber perikanan negara yang semakin terancam mampu dipulihara semula dengan cara ini dan ia mengurangkan konflik antara nelayan pukat tunda dan nelayan pantai," katanya ketika ditemui di Kuala Tunjang di sini hari ini.

Menurut Che Ani, melalui penge­zonan semula itu nelayan-nelayan pantai mempunyai kawasan menangkap ikan yang lebih luas.

“Langkah ini juga mempercepatkan proses pemuliharaan sumber perikanan di perairan pantai dan mewujudkan ekosistem marin yang lebih sihat.

“Ini kerana anak-anak ikan daripada pelbagai jenis spesies dapat membesar dengan baik kerana sebelum ini nelayan pukat tunda sering menangkap anak-anak ikan di kawasan perairan pantai untuk dijadikan ikan baja," jelasnya.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai Pertubuhan Pemilik Bot Ikan yang mahu kerajaan mempertimbang semula arahan pengezonan semula kawasan penangkapan ikan di pantai Barat kerana pendapatan mereka akan terjejas, Che Ani berkata, nelayan pukat tunda tidak memahami kepentingan menjaga ekosistem laut dan hanya mementingkan diri sendiri.

“Yang menentang pengezonan semula ini adalah pemilik bot yang hanya memikirkan pendapatan mereka sahaja, mereka kaut banyak keuntungan dengan memusnahkan sumber ikan.

“Kami berharap Jabatan Perikanan akan mengikut jejak empat negara yang telah mengharamkan pukat tunda iaitu Jepun, Hong Kong, Indonesia bagi mewujudkan sistem pengurusan sumber laut yang lebih baik," katanya.

Sumber: Utusan