Dua Lagi Pusat Aktiviti Warga Emas Dibina Di Kedah

9warga
ALOR SETAR 9 September – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membina dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas di negeri ini bagi meningkatkan keberkesanan menjaga kebajikan golongan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, setakat ini, Kedah hanya mempunyai tiga pusat seumpama itu iaitu di Sungai Kob di sini, Sungai Petani dan Bandar Baharu.

Menurutnya, penubuhan pusat berkenaan dilihat antara pendekatan terbaik sebagai pusat sehenti bagi mengumpul golongan warga emas di samping memastikan mereka berinteraksi di antara satu sama lain di situ.

“Setakat ini, seramai 2,300 warga emas telah mendaftar sebagai ahli di Pusat Aktiviti Warga Emas tersebut. Pusat ini menjalankan pelbagai aktiviti termasuklah kelas tazkirah mingguan, membaca Al-Quran, memasak dan kraf tangan serta aktiviti pertanian,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pihaknya merasakan pusat seumpama itu perlu diperluaskan ke kawasan lain. Justeru, Kerajaan Negeri dengan kerjasama JKM mengambil keputusan menambah dua lagi Pusat Aktiviti Warga Emas di Pendang dan Alor Setar tidak lama lagi.

“Penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas bertujuan sebagai pusat sehenti bagi golongan anak-anak meninggalkan ibu bapa sementara waktu iaitu ketika mereka keluar bekerja. Dengan kewujudan Pusat Aktiviti Warga Emas ini, sekaligus dapat mengurangkan budaya anak-anak menghantar ibu bapa ke rumah orang tua,” katanya.

Sumber : UMTK