Warga UUM Perlu Lebih Usaha Ke Arah Inovasi - Pro Canselor

27uum
Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bersama-sama para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi kakitangan Universiti Utara Malaysia sempena Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2014 di Dewan Mu'adzam Shah UUM, Sintok, semalam.

KUBANG PASU 27 Ogos - Warga Universiti Utara Malaysia (UUM) disarankan agar terus memperkasa usaha untuk meningkatkan kecemerlangan dan kualiti pendidikan dengan memainkan peranan sebagai arkitek inovasi serta kreativiti dalam pelbagai bidang.

Pro-Canselor UUM, Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, satu ekosistem inovasi di tempat kerja perlu dibentuk agar penjanaan ilmuan yang berkualiti dapat dilakukan dengan efisien.

"Tugas ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun begitu dengan iltizam dan komitmen kita semua sebagai jentera sektor pendidikan, sudah pasti akan dapat membuahkan hasil yang dinikmati bersama-sama oleh rakyat.

''Kita harus sedar bahawa pembudayaan amalan kerja yang terbaik dan berinovasi harus dijadikan sesuatu yang sebati dalam diri kerana apabila dilakukan sebagai amalan akan menjadi sesuatu yang mudah," katanya ketika berucap dalam Hari Inovasi dan Majlis Penganugerahan Universiti (HIMPU) 2014 di Dewan Muadzam Shah, UUM di Sintok hari ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz yang juga Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah berkata, warga UUM perlu sentiasa proaktif dan berfikiran kreatif serta inovatif untuk mencari ruang penambahbaikan dalam usaha memperkasa budaya menimba ilmu.

Kata beliau, UUM sebagai sebuah universiti yang menjulang nama dalam arena pendidikan yang berteraskan bidang pengurusan itu perlu terus mempertingkat usaha untuk melahirkan ilmuan negara yang berinovasi serta kreatif.

"Sebagai sebuah universiti pengurusan dan berfokus kepada sains sosial kita juga tidak terkecuali daripada membudayakan inovasi ini," jelasnya.

Tambah beliau, penerima-penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) hari ini harus menjadikan anugerah yang diterima sebagai pembakar tekad dan semangat untuk terus meningkatkan usaha serta menyokong UUM menjadi gedung ilmu yang berinovasi.

"Kejayaan penerima kali ini perlu dicontohi oleh semua warga UUM dan menjadi penanda aras dalam usaha membudayakan inovasi serta kreativiti di peringkat jabatan masing-masing,''katanya.

Sumber : UTUSAN