Semarakkan Jiwa Patriotisme

27semarakkan
SIK 27 Ogos – Biarpun negara masih diselubungi suasana sedih ekoran tragedi pesawat MH17 dan MH370, namun komitmen untuk menyemarakkan jiwa patriotisme dalam diri setiap rakyat tidak pernah luntur.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah berkata, inilah kehebatan rakyat Malaysia yang sentiasa bersatu hati mengharungi apa jua cabaran dan rintangan sama ada ketika pilu atau kegembiraan dengan jiwa yang kental bagi mendepani cabaran mendatang.

“Majlis yang diadakan pada hari ini membawa erti dan sangat signifikan kerana selain sebagai tanda memulakan perayaan Bulan Kemerdekaan yang cukup bermakna, kita juga perlu tunjukkan sebagai rakyat kita berbangga mengibar Jalur Gemilang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan 2014 dan Kempen Kibar Jalur Gemilang di Dewan Felda Teloi Timur, di sini.

Tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-57 pada tahun ini ialah ‘Malaysia Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.
Menurutnya, memasang dan mengibar Jalur Gemilang lebih bermakna lagi kerana rasa dan jiwa patriotisme tidak boleh tersimpan dalam jiwa tetapi perlu dizahirkan secara terbuka bagi menunjukkan semangat rakyat Malaysia.

“Jalur Gemilang merupakan identiti nasional yang menyatupadukan semua rakyat Malaysia, selain ia mewakili nilai dan maruah pertiwi yang berdaulat dan merdeka. Jalur Gemilang juga adalah sebuah penghormatan dan kebanggaan serta lambang kemenangan apabila berkibar megah dan gagah,” ujarnya.

Tambahnya, ia juga sebagai tanda solidariti dan kebersatuan rakyat Malaysia yang berdiri teguh dan sentiasa bersemangat untuk mengibar bendera kebanggaan negara. Jalur Gemilang bukan sekadar sehelai kain bercorak tetapi ia tersimpan sebuah pengertian dan seribu makna yang sangat mendalam.

Pada majlis itu, YB. Tajudin turut melepaskan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang bergerak ke 12 lokasi terpilih dalam Daerah Sik bagi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, YB. Mahadzir Abdul Hamid dan Pegawai Daerah Sik, Mohd Zohdi Haji Saad.

Sumber : UMTK