Salah Guna Media Sosial Meningkat

18media
ALOR SETAR 18 Ogos – Kes salah guna media sosial semakin meningkat dan pesalah boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah jika dilaporkan kepada polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, setakat ini SKMM menerima 26 laporan terhadap pemilik akaun Facebook Chandra Lawan Tetap Lawan yang didakwa menghina Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata, walaupun akta SKMM  terlalu terhad untuk mengambil tindakan mahkamah tetapi penyalahgunaan laman media sosial boleh dibanteras dengan kerjasama semua pihak apabila laporan polis dibuat.

“Kita menerima banyak laporan mengenai isu penghinaan pelbagai pihak dalam media sosial. Dalam hal ini, kita perlu semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan wakil rakyat tanpa mengira parti untuk bersama menjayakan penguatkuasaan akta itu.

“Harap pihak berkuasa ambil tindakan setimpal terhadap pemilik akaun yang salah guna kebebasan dalam media sosial,” katanya pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kedah Ketiga Belas di Wisma Darul Aman, di sini.

Sehubungan itu, katanya, semua pemilik perlu bertanggungjawab menjaga akaun atau laman masing-masing agat tidak digunakan pihak lain untuk memuatnaik bahan yang terlarang.

Sumber:UTMK