ALOR
SETAR 14 Ogos - Satu undang-undang baharu perlu digubal bagi
menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dalam usaha menangani
perbuatan menghina agama, institusi diraja dan kaum yang berleluasa
dalam media sosial.
Pengerusi
Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan
Teknologi Tinggi negeri, Norsabrina Mohd. Noor berkata, insiden baharu
yang melibatkan penghinaan ke atas Yang di-Pertuan Agong menerusi
Facebook adalah sesuatu yang melampau.
Katanya,
menerusi undang-undang tersebut, pemilik akaun laman sesawang diminta
agar bertanggungjawab atas kandungan yang terdapat dalam akaun mereka
serta membuat laporan polis sekiranya akaun diceroboh.
"Semua
pihak yang mempunyai akaun media sosial perlu bertanggungjawab ke atas
akaun masing-masing. Jika berlaku kes-kes seperti penghinaan dan akaun
mereka dikesan melakukan perkara itu, maka harus membuktikan jika benar
tidak terlibat, sekiranya benar akaun mereka digodam atau sebagainya,"
katanya.
Beliau
berkata demikian dalam sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri
(DUN) di sini semalam yang menyaksikan usul tersebut dipersetujui oleh
dewan itu.
Selain
itu persidangan DUN tersebut turut memutuskan bahawa tindakan tegas
perlu diambil terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong
menerusi Facebook baru-baru ini.
Selain
itu, kata Norsabrina, kerajaan negeri turut meminta Kerajaan Pusat
mengkaji semula pemberian lesen barangan lusuh yang ada sekarang bagi
mencegah kes-kes kecurian kabel telekomunikasi yang semakin kerap
berlaku kebelakangan ini.
Katanya, ketika ini Kedah berada pada kedudukan ketiga tertinggi kes kecurian kabel di kawasan luar bandar.
Sumber : UTUSAN