JITRA 25 Ogos – Sempena memperingati
detik bersejarah kemerdekaan negara, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman
Desa Damai, di sini menyemarakkan sambutan ulang tahun bulan kemerdekaan
dengan mengibarkan bendera di kawasan perumahan mereka.
Usaha yang menelan belanja lebih
RM10,000 itu turut diserikan dengan membina satu pintu gerbang bagi
memperindah kawasan taman perumahan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan
Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Desa Damai, Khamis Md Taib berkata,
program kali kedua diadakan itu merupakan aktiviti tahunan bersama
penduduk yang dilaksanakan secara bergotong-royong.
Menurutnya, di samping meraikan bulan
kemerdekaan, usaha itu juga diharap dapat menyemai sifat patriotik dalam
kalangan penduduk.
“Kita menggunakan lebih 2,000 bendera pelbagai saiz untuk digantung di sekitar taman termasuk di kediaman penduduk.
“Manakala kerja-kerja menghias kawasan taman ini dilakukan oleh Jawatankuasa JKKK dengan bantuan penduduk,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya juga mengambil inisiatif dengan menghias pondok kawalan keselamatan dengan tema kemerdekaan.
“Kita juga pergi ke setiap rumah
penduduk dan memasang dua bendera untuk setiap kediaman serta melekatkan
bendera pada kereta yang masuk ke taman ini,” katanya.
Seorang penduduk, Ahmad Mahady Ahmad
Fauzi, 28 tahun berkata, idea dan usaha pihak JKKK taman itu harus
dipuji dan dicontohi masyarakat sekitar.
Katanya, di samping memperingati hari
kemerdekaan dan menceriakan taman perumahan, program seperti itu juga
dapat mengeratkan silaturahim sesama penduduk.
“Ini satu bentuk aktiviti yang dapat
memberi kesan kepada orang ramai sebagai rakyat Malaysia, khususnya
dalam usaha menerapkan nilai-nilai patriotisme,” katanya.
Sumber : UMTK