Guna Peluang Persidangan Yakinkan Pembuat Dasar

25Guna
ALOR SETAR 25 Ogos – Pakar sejarawan negara diminta memanfaatkan peluang membentangkan kertas kerja sebaik mungkin di Persidangan Antarabangsa Sejarawan Asia Kali Ke-23 di Hotel Tabung Haji, di sini untuk meyakinkan pembuat dasar di kementerian dan pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi Abdul Hamid berkata, usaha itu bagi memastikan mereka dapat melihat sejarah Tamadun Sungai Batu dalam Tamadun Lembah Bujang iaitu Kedah Tua sebagai sejarah bersama dan perlu dicungkil secara besar-besaran.

Menurutnya, pembentangan kertas kerja mengenai tamadun itu akan dilaksanakan oleh penyelidik yang juga Pengarah Pusat Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dato’ Dr Mokhtar Saidin.

“Pembentangan mengenai tamadun berusia kira-kira 250,000 tahun itu mungkin julung kali dibuat terutamanya mengenai bagaimana penemuan terbaru yang ada di Sungai Batu sebagai penemuan terulung serta bukan sahaja mewakili negeri ini tetapi juga sebenarnya mewakili negara.

“Tamadun Sungai Batu adalah tamadun yang cukup lama dan dibuktikan melalui beberapa kajian uji kaji terhadap batu serta besi,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, khazanah yang ada pada tamadun itu masih belum terungkap kerana pakar sejarah masih lagi tercari-cari kerajaan mana yang menerajui zaman itu.

“Beberapa penemuan penting turut ditemui dalam tasik di Sungai Batu termasuklah tongkang. Jika Kerajaan Pusat dapat melihat penemuan itu sebagai penemuan bersejarah negara, kita yakin ia boleh menjadi simbolik seperti penemuan pyramid di Mesir, Angkor Wat di Kemboja dan Borobudur di Indonesia,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sekiranya itu dapat direalisasikan, kemungkinan lebih banyak sumbangan Kerajaan Pusat dapat disalurkan untuk membina sebuah muzium mengenai kewujudan tamandun itu yang boleh menjadi kebanggaan terutamanya kepada rakyat di negeri ini.

Sumber : UMTK