Bekalan Minyak Masak Cukup

Oleh SAFINA RAMLI
5minyakSITI Zalena Said menunjukkan bekalan minyak masak peket yang dikatakannya mencukupi bagi menampung permintaan pelanggan di Pasar Besar Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/ Ismail Kamadin

ALOR SETAR 4 Julai - Masalah kekurangan minyak masak peket yang melanda negeri ini sebelum Ramadan telah diatasi sejak tiga hari lalu.

Dalam tinjauan yang dilakukan Utusan Malaysia di kedai-kedai runcit di sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakan kedai mempunyai bekalan minyak masak peket yang mencukupi.

Seorang peniaga kedai runcit di Pasar Besar di sini Mohd. Fauzi Sharif, 54, berkata, bekalan minyak masak peket telah dihantar oleh pengilang sejak tiga hari lalu dan peniaga tidak lagi mengalami masalah ketiadaan minyak masak.

"Minyak masak peket, minyak masak di dalam botol dan juga tepung gandum dijangka mencukupi dengan penambahan kuota pengeluaran barang-barang tersebut oleh pihak pengilang.

"Kalau kita tinjau semua kedai runcit di sekitar Pasar Besar ada bekalan minyak masak peket yang mencukupi dan pengguna tidak perlu risau lagi," katanya ketika ditemui hari ini.

Fauzi yang juga pemantau bagi Persatuan Pengguna Kedah (Cake) berkata, melalui tinjauannya di kedai-kedai runcit di kawasan Kubang Pasu, Pokok Sena, Sik dan beberapa daerah lain di negeri ini turut mendapati pekedai di daerah tersebut tidak mempunyai masalah kekurangan bekalan minyak masak.

"Cuma semasa menjalankan urusan perniagaan pada bulan Ramadan ini pengilang meletakkan syarat agar setiap pesanan minyak masak peket dibayar dengan menggunakan wang tunai, jadi peniaga perlu mengikuti syarat ini," jelasnya.

Dalam pada itu, seorang lagi peniaga kedai runcit, Siti Zalena Said, 51, memberitahu, bekalan minyak masak peket telah pulih dan dia bersyukur kerana tidak perlu lagi berhadapan dengan rungutan pengguna mengenai masalah itu.

"Permintaan minyak masak peket dalam bulan Ramadan memang meningkat, penghantaran mencukupi oleh pengilang memudahkan kami memenuhi permintaan pelanggan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah, Khalid Tik berkata, pemantauan oleh para pegawainya di pasar raya dan kedai-kedai runcit turut mendapati, bekalan minyak masak peket mencukupi.

"Kebanyakan pasar raya dan kedai runcit mempunyai bekalan minyak masak peket dan minyak masak botol yang mencukupi.

"Pihak kami nasihati pengguna agar tidak panik kerana pengeluaran minyak masak telah ditambah bagi menampung keperluan pada bulan Ramadan ini," jelasnya.

Sumber:Utusan