Pejabat Daerah Diarah Kerjasama Dengan Polis

logokdh
KUBANG PASU 5 Julai - Semua pejabat daerah di Kedah diarah bekerjasama dengan polis bagi membanteras kegiatan mesin judi haram di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, laporan diterimanya mendapati kegiatan haram tersebut memang wujud di beberapa kawasan seperti Sungai Petani, Kulim dan Alor Setar.

"Namun, saya diberitahu para pengusahanya amat licik dalam beroperasi sehinggakan mereka boleh menukar fungsi komputer yang sedang digunakan untuk berjudi menjadi seperti biasa hanya dengan menekan satu sistem pada komputer utama.

"Itu mungkin menyukarkan pihak berkuasa untuk membuat tangkapan ketika mereka beroperasi, tetapi saya mahu semua pihak bekerjasama agar kegiatan itu dapat dibersihkan dari negeri ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika hadir ke majlis berbuka puasa bersama rakyat di Surau Kampung Kuala Jerlun di sini semalam.

Mukhriz menambah, pihak bertanggungjawab juga tidak sepatutnya bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang didapati masih terus menjalankan kegiatan itu walaupun sudah diserbu berkali-kali.

"Sebelum ini saya sudah sebut bahawa pengeluaran lesen sementara untuk pusat-pusat hiburan termasuk kafe siber tidak wujud.

"Jadi jika ada mana-mana pihak yang masih berselindung dengan mengatakan beroperasi menggunakan lesen sementara, maka itu terang-terangan menyalahi undang-undang dan tindakan tegas perlu diambil ke atas mereka," katanya.

Sumber:Utusan