BDB Beli 485 Hektar Tanah PKNK

14bdb
ALOR SETAR 14 Julai – Bina Darulaman Berhad (BDB) menandatangani perjanjian dasar induk (HoA) untuk membeli 485 hektar tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK).

Perjanjian itu ditandatangani Pengarah Urusan Kumpulan BDB, Dato’ Izham Yusoff dan Ketua Eksekutif PKNK, Dato’ Abdul Rahman Ibrahim sambil disaksikan oleh Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Pada perjanjian itu, BDB bersetuju untuk mengambil 21 bidang tanah masing-masing tiga di Langkawi, satu di Kubang Pasu, lima di Kuala Muda, dua di Pokok Sena dan 10 di Kulim.

Difahamkan, proses pengambilalihan itu membabitkan perbelanjaan kira-kira RM204 juta. Izham berkata, langkah itu adalah satu usaha bersama bagi menentukan hala tuju BDB pada masa akan datang.

“Kebanyakan tanah ini akan kita bangunkan sebagai kawasan perumahan baru termasuk rumah mampu milik,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani HoA di Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, selaras dengan objektif BDB untuk meningkatkan jumlah tanah untuk pembangunan hartanah, cadangan pengambilalihan itu mampu meningkatkan simpanannya kepada 1,097 hektar.

“Dalam cadangan projek perumahan, memang kita ada berbincang dengan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), tetapi tidak semestinya menggunakan tanah yang kita beli ini,” ujarnya.

Tambahnya, pada tahun 2013, BDB mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM21.1 juta berbanding pendapatan tahunan sebanyak RM281.0 juta.

“Aset ketara bersih sesaham meningkat kepada RM3.64 dari RM3.42 pada tahun 2012 manakala dana pemegang saham pula meningkat kepada RM265.2 juta berbanding RM249.2 juta pada tahun 2013,” katanya.

Sumber:UMTK