Usahawan Perlu Kreatif Untuk Lebih Maju

2kreatifMohd. Tajudin Abdullah (kanan) menunjukkan produk-produk jenama 1Malaysia yang dipasarkan oleh Pasar Bergerak 1Malaysia semasa Karnival Halal Komuniti 1Malaysia di Padang Awam Sik, Kedah, kelmarin. - UTUSAN/Norlia Ramli

SIK 2 Jun - Usahawan di negeri ini disarankan agar kreatif menghidupkan segala sumber dan produk yang ada di daerah ini untuk lebih maju dalam bidang perniagaan yang diceburi dengan lebih kreatif.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, usahawan juga perlu mengembangkan produk mereka selaras dengan teknologi baharu untuk memastikan peluang produk tempatan ke pasaran luar lebih besar.

"Ramai dalam kalangan usahawan terdiri daripada orang Islam tetapi mereka kurang menonjol untuk memperkenalkan produk-produk mereka sehingga ramai di kalangan kita tidak mengetahuinya.

"Peranan agensi-agensi kerajaan dan media amat diperlukan bagi membantu menaikkan nama produk-produk tempatan supaya ianya lebih dikenali," katanya ketika merasmikan Karnival Halal Komuniti 1Malaysia di Padang Awam Sik di sini semalam.

Menurut Mohd. Tajudin, kerajaan perlu lebih serius memerhati dan mengambil tindakan ke atas pengusaha makanan yang tidak halal agar tidak memberi lebih impak mengenai pemakanan halal di kalangan orang Islam.

"Karnival halal seumpama ini haruslah digerakkan kepada orang ramai dengan lebih kerap untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada mereka," ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu bahawa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga menyediakan gerai-gerai dan bazar bagi kemudahan pengusaha di Sik memasarkan hasil produk mereka.

"Lima buah Agro Bazar Kedai Rakyat, empat gerai buah-buahan segar dan sepuluh buah motosikal roda tiga disediakan di daerah ini bagi memberi kemudahan kepada orang ramai.

"Semua yang dilakukan itu adalah untuk memperluaskan hasil-hasil produk tempatan yang sememangnya dijamin halal di samping membantu peniaga untuk memasarkannya," katanya.

Sumber:Utusan