RM8j Bangun Sektor Pertanian - MB

Oleh JAMLIAH ABDULLAH
3pertanianKU Abd. Rahman Ku Ismail (dua dari kanan) melawat tapak pameran selepas majlis perasmian Road to MAHA 2014 peringkat negeri di Pusat Pertumbuhan Desa Sungai Korok, Alor Biak, Ayer Hitam, Kedah, baru-baru ini.

JERLUN 3 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan hampir RM8 juta untuk membangunkan sektor pertanian di negeri ini yang memberi tumpuan kepada peningkatan hasil pertanian terutamanya padi dan mewujudkan lebih ramai usahawan tani.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, peruntukan tersebut yang diumumkan da­lam Ba­jet 2014 membuktikan kesung­guhan kerajaan negeri untuk membangunkan potensi sektor pertanian bagi melonjak pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, pelbagai faedah serta inisiatif diwujudkan bagi membantu petani-petani di negeri ini melalui jabatan-jabatan serta agensi berkaitan.

"Program Transformasi Negeri Kedah yang dilancarkan tidak lama dahulu berperanan sebagai pemangkin kepada usaha-usaha untuk merealisasikan aspirasi tersebut.

"Kerajaan negeri akan sentiasa memastikan hala tuju sektor pertanian yang selama ini dilihat sebagai sektor kurang diminati kerana pulangan hasil yang rendah, dilonjak menjadi sektor berpendapatan tinggi, berdaya maju serta memberi pulangan yang lumayan kepada pengusahanya,'' katanya di majlis perasmian Road To MAHA peringkat negeri di Pusat Pertumbuhan Desa, Sungai Korok, Alor Biak, Ayer Hitam dekat sini baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kedah, Datuk Dr.Ku Abd. Rahman Ku Ismail.

Berucap lanjut kata Mukhriz, melalui Makmal Transformasi Kedah kerajaan negeri telah mengenalpasti beberapa masalah iaitu kawasan tanah terbiar luar kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) seluas 8,619 hektar dan kekangan-kekangan dari segi teknologi serta pemasaran luar negara.

''Setelah masalah ini dikenal pasti, maka kerajaan negeri telah merangka transformasi pertanian untuk membantu petani-petani.

''Antara transformasi pertanian yang akan kerajaan negeri jalankan ialah memperkenalkan industri biji benih serta kaedah penanaman padi yang kurang menggunakan air serta racun, di samping membangunkan kawasan tanah terbiar dan aktiviti pertanian berskala besar iaitu berkonsep estet dan koperasi serta memperkenalkan padi organik,'' katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga berhasrat menyumbang sehingga 60 peratus kepada hasil pengeluaran padi negara menjelang tahun 2020 berbanding kira-kira 35 peratus ketika ini.

''Antara projek yang membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi ialah menerusi Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Projek Permulaan (EPP) 10.

"Program pemerkasaan sektor pertanian yang dirancang oleh kerajaan negeri turut disokong oleh Kerajaan Persekutuan yang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.2 bilion untuk projek penambahbaikan pengairan dan saliran kawasan MADA,'' katanya.

Tambahnya, selain itu, MADA diberi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi meningkatkan jumlah kawasan sawah persendirian dijadikan estet padi pada kadar 5,000 hektar setahun secara berperingkat-peringkat sehingga menjelang 2020.

Sumber:Utusan