Lapangan Terbang Bukan Pembaziran - YB NORSABRINA

18bazir
ALOR SETAR 18 Jun – Cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru di Kulim bukan suatu pembaziran, sebaliknya keperluan untuk memberi perkhidmatan logistik kepada Wilayah Utara.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, perkara itu juga bukan dibuat secara terburu-buru malah kajian dan perincian projek sudah dibincangkan dalam Makmal Transformasi Kedah (MTK) pada September 2013.

“Cadangan membina lapangan terbang ini adalah hasil daripada MTK dan sudah dibuat kajian, justifikasi dan rasional sebuah lapangan terbang baru wajar dibina di Selatan Kedah. Antara tujuannya untuk melengkapkan pembangunan secara menyeluruh di Kulim Hi-Teck Park (KHTP) selaras dengan Pelan Transformasi KHTP,” katanya.

Menurutnya, antara aspek yang perlu dibuat penambahbaikan untuk menjayakan pelan itu adalah keperluan membina lapangan terbang antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu turut menempelak kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan cadangan itu sebagai pembaziran dan tidak berkepentingan rakyat.
“Ini bukan projek yang membazir. Ini keperluan masa depan untuk Wilayah Utara dalam menyediakan perkhidmatan lengkap kepada pelabur dan pemain industri. Malah saya percaya ia juga penting untuk pembangunan Koridor Utara dalam merancakkan lagi pembangunan industri,” ujarnya.

Tambahnya, kemungkinan Guan Eng dibayangi rasa resah sekiranya lapangan terbang baru itu menjadi kenyataan, kelak aliran trafik di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas terjejas atau pelabur luar beralih ke Kedah, berikutan kemudahan yang disediakan lebih baik.

Katanya, fungsi lapangan terbang itu juga kelak lebih menyeluruh dan mempunyai landskap berbeza dengan lapangan terbang berdekatan, antaranya mempunyai dua landasan bagi kegunaan kargo dan penumpang.

“Ia juga bakal dilengkapi perkhidmatan khusus untuk bidang industri yang mana Kedah kawasan industri bertumpu di Sungai Petani dan Kulim. Faktor jarak dari lapangan terbang sedia ada menyebabkan perkhidmatan tidak dapat ditawarkan dengan baik,” katanya.

Merujuk kepada anggaran keluasan mencecah 6,000 hektar, beliau berkata, perkara itu diputuskan setelah butiran terperinci dibincangkan bersama agensi berkaitan termasuk Malaysia Airport Berhad (MAB) dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

“Sememangnya kita ada wakil MAB dan DCA dalam Jawatankuasa Infrastruktur dan Kerja Raya bawah MTK yang membincangkan terperinci projek ini. Kita juga dapatkan input berkaitan daripada mereka sebelum perkara itu diputuskan dalam mesyuarat,” katanya.

Ujarnya, perbincangan berkaitan projek itu dibuat dari semasa ke semasa, malah jawatankuasa akan kemukakan kertas kerja dan kajian terperinci baru selepas perkara itu diteliti Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
“Buat masa ini, perancangan awal dalam penelitian Perdana Menteri, butiran terperinci akan dikemukakan lagi apabila kita melalui fasa-fasa perbincangan kerana ia masih di peringkat awal cadangan,” katanya.

Sumber:UMTK