Tadbir Urus Baik Capai Pembangunan Berintegriti

11tadbirurus
ALOR SETAR 11 Jun – Pelaksanaan tadbir urus baik mampu merealisasikan hasrat membangun dengan pesat secara holistik.

Ia bukan sahaja dari sudut pembangunan sosioekonomi  tetapi pembangunan akhlak iaitu integriti di segenap lapisan kepimpinan dan masyarakat.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, sistem penyampaian setiap organisasi dan Kerajaan Negeri menjurus kepada amalan tadbir urus baik mampu tercapai menerusi amalan integriti penuh beretika.

Menurutnya, amalan murni perlu diterap secara jujur dan ihsan di segenap peringkat pengurusan yang bertanggungjawab atas setiap lapisan pemegang taruh atau stakeholders dalam sistem penyampaian mereka.

“Namun ini adalah cabaran berat kepada diri saya dan setiap peringkat pentadbiran negeri samaada pentadbiran awam, anak syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta, universiti, kolej, maktab, sekolah, institusi agama seperti masjid dan surau serta usahawan.

“Saya tidak mengharapkan kesempurnaan dalam waktu singkat kerana sifat itu hanya milik Allah dan kita manusia sentiasa diselubungi sifat kekurangan,” katanya ketika menyampaikan seminar peranan integriti dan etika dalam membentuk tadbir urus korporat yang baik pada Forum Insaniah Distinguished Speakers Series di Kolej Universiti Insaniah, di sini.

Tambahnya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk menambah baik sistem penyampaian dan merupakan satu proses yang berterusan.

Pada sidang media pula, Menteri Besar berkata, kewujudan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus bukan sahaja memfokuskan kepada laporan ketua audit negara tetapi boleh digunakan untuk memeriksa serta menyiasat sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan.

“Setakat ini di Kedah masih tiada laporan mengenai apa-apa kes tetapi sedang meneliti beberapa kes melibatkan pegawai yang meluluskan peruntukan melampaui kuasa untuk sebarang perbelanjaan atau mengeluarkan permit lesen tidak dibenarkan, contohnya permit sementara pusat hiburan.

“Siasatan Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus mengikut garis panduan sedia ada. Kewujudannya amat baik kerana sebelum ini tiada jabatan lain melaksanakannya,” ujarnya.

Sumber:UMTK