Kedah-Johor Jalin Kerjasama Dalam Bidang Perdagangan Dan Pelancongan


ALOR SETAR 12 Jun – Kerajaan Negeri Kedah berminat menjalin kerjasama dua hala dengan Kerajaan Negeri Johor dalam beberapa sektor yang dilihat mampu memberi manfaat bersama khususnya perdagangan dan pelancongan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, kerjasama yang bakal dijalinkan akan memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan tempatan khususnya yang terlibat dengan industri kecil dan sederhana (IKS).

Menurutnya, cabaran utama yang mungkin timbul dalam sektor perdagangan adalah permasalahan berkaitan logistik.

“Isu logistik contohnya adalah cabaran utama. Sekiranya terdapat perkhidmatan kontena yang kerap dan terus antara Kedah dan Johor pasti akan dapat meningkatkan nilai dagangan.

“Selain itu, kejayaan Johor dalam sektor pelancongan boleh diteladani Negeri Kedah,” katanya pada sidang media selepas Program Jalinan Transformasi antara Kedah dan Johor di Nusajaya, Johor.

Lawatan dua hari itu bertujuan mencari pengalaman baru serta mengeratkan hubungan antara Kerajaan kedua-dua negeri.

Kunjungan yang diketuai oleh Menteri Besar Kedah itu turut disertai kira-kira 60 orang termasuk pimpinan tertinggi Kerajaan Negeri Kedah, antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Paduka Haji Mohd Puat bin Haji Mohd Ali.

Menteri Besar berkata, beliau lebih selesa menjalankan lawatan kerja di dalam negara terlebih dahulu sebelum melakukan lawatan ke luar negara.

“Kami berpandangan Kerajaan Negeri boleh mendapat pelbagai manfaat melalui lawatan kerja di dalam negara kerana pelbagai persamaan yang wujud,” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, YB. Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, pihaknya mengalu-alukan jalinan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Negeri Johor dan turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

“Lawatan ini bertujuan berkongsi dan bertukar pandangan berhubung soal pengurusan, pentadbiran dan pembangunan Kerajaan Negeri.

“Kedah umpamanya merupakan negeri pengeluar beras terbesar negara ini manakala Johor pengeluar produk makanan berasaskan tanaman. Jadi, dengan adanya jalinan kerjasama, pastinya perdagangan dua hala dapat dipertingkatkan,” katanya.

Sumber:UMTK