Enakmen Anti-Syiah Berkuatkuasa - MUKHRIZ

11syiah
ALOR SETAR 11 Jun – Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah, Kedah Darul Aman 2013  yang diluluskan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Ogos 2013 akan berkuatkuasa serta-merta bermula bulan Jun 2014, sekaligus tindakan undang-undang boleh diambil terhadap pengikut dan penyebar fahaman Syiah di negeri ini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pindaan rang undang-undang yang diluluskan dalam Sidang DUN itu sudah digazet dengan percetakan rang undang-undang berkenaan untuk diguna pakai.

Menurutnya, apabila ia dicetak, dengan serta-merta ia akan berkuatkuasa. “Hujung bulan Mei 2014, rang undang-undang itu sudah pun dicetak dan digazet. Justeru, kita mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Sebelum ini, walaupun sudah dipersetujui dalam Sidang DUN untuk pindaan rang undang-undang tetapi sebab belum dicetak, ada pihak tertentu cuba mencabar penguatkuasaan undang-undang dengan menganjurkan perhimpunan Syiah Peringkat Kebangsaan biarpun sebenarnya melanggar undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan seminar pada program Insaniah Distinguished Speakers Series di Kolej Universiti Insaniah, di sini.

Beliau menjelaskan, susulan itu, Pemuda UMNO Kedah sudah membuat laporan polis kerana tersebar luas maklumat mengenai penganjuran perhimpunan Syiah yang dianjurkan di Pendang, Kedah.

“Apabila rang undang-undang itu sudah digazet dan kemudian ada laporan polis daripada mana-mana pihak, polis sudah boleh bertindak dengan membuka kertas siasatan dan mengambil tindakan.

“Kita sekarang bukan sekadar memberi amaran terhadap penyebar Syiah, tetapi sudah mempunyai kuasa untuk bertindak seperti mana yang diperuntukkan oleh undang-undang baru yang dipinda,” ujarnya.

Sumber:UMTK