Seminar Usahawan Tarik Minat 200 Peserta

29usahawan

SUNGAI PETANI 29 Mei – Sebanyak 200 penduduk sekitar kawasan ini menyertai Seminar Keusahawanan 2014 yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, di sini.

Pengerusi program, Mohd Zaidi Abdul Manaf berkata, program itu merupakan cara terbaik untuk menarik penduduk tempatan, termasuk golongan belia mendekatkan diri dengan agensi kerajaan.

“Pegawai dari pelbagai agensi hadir dan memberi  penerangan berhubung maklumat terkini kepada peserta untuk menjadi peniaga kecil di kawasan masing-masing, sehingga kini masih banyak peluang perniagaan baru yang masih boleh diceburi oleh golongan itu,” ujarnya.

Menurutnya, program itu mendapat kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Perbadanan Usahawan Nasional, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, AIA Public Takaful dan Agro Bank.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain ketika berucap dalam majlis penutup program itu memberitahu, asas perniagaan penting untuk mereka yang ingin berniaga walaupun menjual nasi lemak.

“Hasil susah payah, seseorang boleh menjadi peniaga hebat jika kerja yang dilakukan ini dikendalikan dengan baik tanpa mengenal erti jemu dan bosan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai menegaskan, kerjaya itu tidak dapat lari daripada menghadapi persaingan dan hanya mereka yang ada ketahanan diri sahaja mampu memperoleh rezeki lumayan.

Seorang peserta, Asfarizan Karfiza Abdul Ghani, 36 tahun berkata, banyak perkara baru dapat dipelajari semasa menyertai sesi ceramah di program itu.

“Saya juga gembira kerana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dapat meluluskan pinjaman hampir RM6,000 bagi membolehkan saya membesarkan perniagaan menjual peralatan kosmetik,” katanya.

Sumber:UMTK