Pertumbuhan Ekonomi Negeri Kedah - MUKHRIZ

4ekonomiALOR SETAR 4 Jun – Kemasukan pelabur asing ke Negeri Kedah diharap mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara dalam suku pertama pada tahun ini iaitu sebanyak 6.2 peratus.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Negeri Kedah adalah antara negeri yang mempunyai kadar pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi.

“Kita amat bergantung kepada pelaburan asing yang merupakan satu-satunya pegangan ekonomi negeri yang turut menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan di Perkarangan Wisma Darul Aman, di sini.

Beliau menjelaskan, dengan kepesatan ekonomi negara yang terus berkembang maju, Kedah perlu mengorak langkah ke hadapan dengan merangka pelbagai strategi dalam usaha menjadikan Negeri Kedah terus berkembang maju.

“Sebagai sebuah negeri yang aman dan makmur, kita perlu membuktikan bahawa kita boleh berjaya sepertimana negeri-negeri maju yang lain. Kita perlu merangka satu pengurusan yang lebih baik dalam usaha menjadikan Kedah sebagai hab ekonomi ke arah menarik pelabur asing untuk melabur di negeri ini,” ujarnya.

Tambahnya, banyak perancangan yang perlu dilakukan dalam usaha melonjakkan Negeri Kedah untuk menjadi antara negeri yang termaju di negara ini.
Katanya, kerancakan ekonomi setempat dan prasarana kawasan perindustrian perlu dipertingkatkan dalam usaha menarik pelabur asing untuk datang ke negeri ini.

Pada majlis itu, Menteri Besar turut menyampaikan piala pusingan bagi Anugerah Insentif Penjimatan kepada Pusat Teknologi Maklumat Kedah (PTMK) dan sijil penghargaan bagi Anugerah Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) kepada Bahagian Sumber Manusia (BSM) bagi bulan Mac 2014 dan Bahagian Kewangan Negeri Kedah bagi bulan April 2014.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Bahagian Pengurusan), YB. Dato' Haji Kharudin Zain; Pegawai Kewangan Negeri Kedah, YB. Dato’ Haji Khazali Haji Din serta pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan.

Sumber:UMTK