Kedah Berjaya Tarik Pelaburan Sebanyak RM4 Billion

4pelaburan
AYER HITAM 4 Jun -  Kedah berjaya menarik pelaburan sebanyak RM4 bilion dalam tempoh tiga bulan pertama tahun 2014 berbanding RM2.6 bilion sepanjang tahun 2013.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri terus berusaha gigih dalam menarik pelaburan bagi merancakkan ekonomi  serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

“Kita ingin melihat peluang pekerjaan itu diisi oleh anak-anak Kedah sendiri. Kita tidak mahu jawatan yang ditawarkan itu diisi oleh orang luar dari Kedah.

“Kita akan memberi keistimewaan kepada anak-anak Kedah untuk mengisi jawatan berkenaan dan kita berharap mereka akan mempergunakan peluang itu dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 serta penyampaian sumbangan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2013 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam di Wisma UMNO Bahagian Jerlun, di sini.

Menurutnya, kecemerlangan anak-anak dalam bidang pendidikan merupakan pencetus semangat untuk terus berusaha dengan lebih gigih lagi dan ia menjadi pendorong ke arah mencipta kejayaan di masa depan.

“Kita ingin melihat lebih ramai anak-anak dalam DUN Ayer Hitam berjaya dalam pelajaran serta mampu menjejakkan kaki ke menara gading, hasil bimbingan ibu bapa yang tidak pernah jemu memberi didikan dan galakan kepada anak-anak untuk berjaya dalam pendidikan,” ujarnya.

Tambahnya, sumbangan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri diharap dapat digunakan dengan sebaik mungkin dan apa yang penting, semangat untuk berjaya dalam pelajaran perlu ada dalam diri setiap pelajar.

“Kita ingin melihat anak-anak dalam DUN Ayer Hitam yang berjaya menamatkan pengajian di IPT pada suatu hari nanti agar dapat menyumbang bakti kepada tempat kelahiran mereka apabila sudah bekerja,” katanya.

Dalam majlis itu, seramai 51 pelajar cemerlang SPM dan 13 pelajar cemerlang STPM 2013 menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri sebanyak RM100 setiap seorang. Seramai 26 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT dalam peringkat Sijil menerima sumbangan sebanyak RM100 setiap seorang.

Manakala 60 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke IPT dalam peringkat Diploma menerima sumbangan sebanyak RM300 setiap seorang dan peringkat Ijazah pula seramai 109 pelajar yang menerima sumbangan sebanyak RM500 setiap seorang.

Sumber:UMTK