Patuhi Larangan Zon Santuari

26zon

SUNGAI PETANI 26 Jun – Orang ramai diminta mematuhi arahan larangan Zon Santuari Udang Galah Sungai Muda dekat Kampung Permatang Pasir, Tikam Batu selain pemantauan dilakukan sepanjang masa di kawasan itu.

Ketua Pusat Institut Penyelidikan Perikanan Pulau Sayak, Dr Azhar Hamzah berkata, arahan itu perlu dipatuhi, selain kerja-kerja pemantauan memerlukan sokongan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di samping beberapa pendekatan lain.

“Kita melakukan mesyuarat bulanan bagi mengetahui perkembangan, tangkapan dan juga berbincang bagaimana untuk memelihara kawasan ini.

“Bagaimanapun, kita bimbang sekiranya ada pengunjung waktu malam tanpa disedari yang datang ke kawasan larangan untuk melakukan aktiviti menangkap udang,” katanya.

Beliau menegaskan, penduduk mahupun nelayan luar perlu mematuhi peraturan yang telah diperjelaskan supaya beredar dari kawasan zon itu agar tidak memusnahkan benih udang yang baru sahaja dilepaskan atau belum matang.

“Kita mengharapkan agar udang galah yang dilepaskan di Sungai Muda akan terus membiak sehingga mencapai tempoh matang lima bulan,” ujarnya.

Menurutnya, benih yang dilepaskan seberat kira-kira 0.01 gram akan terus membesar sehingga mencapai 20 hingga 30 gram atau udang jantan boleh membesar sehingga 50 hingga 60 gram.

Wakil Pengarah Kanan Bahagian Penyelidikan di Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, Pulau Pinang, Ismail Ishak berkata, udang galah merupakan spesis penting bernilai tinggi dan usaha berterusan perlu dilakukan bagi memelihara sumber tersebut.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya berkata, pelepasan 100,000 benih udang galah sempena projek perintis pertama di Malaysia adalah sesuatu yang bermanfaat untuk penduduk dan nelayan.

Tambahnya, usaha yang dilakukan Kerajaan Persekutuan itu bukan sahaja mampu memelihara semula habitat udang galah yang hilang akibat projek tebatan banjir, malah memberi manfaat kepada nelayan dalam tempoh lima bulan akan datang.
“Kita harap semua nelayan patuhi arahan larangan sehingga udang menjadi matang,” katanya.

Sumber: UMTK