563 Masjid Terima Sumbangan RM1,000 Imarah Bulan Ramadan

24masjidMukhriz Mahathir menyampaikan sumbangan kepada imam masjid selepas pelancaran Ihya Ramadan 1435H bagi peringkat negeri di Alor Setar, Kedah, semalam. - Utusan/ismail kamadin

ALOR SETAR 24 Jun - Bersempena kedatangan Ramadan tidak lama lagi, sebanyak 563 masjid di negeri ini masing-masing menerima sumbangan RM1,000 sebagai galakan untuk ahli jawatankuasanya menjalankan aktiviti mengimarahkan masjid.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sumbangan itu juga sebagai simbolik kepada keprihatinan dan rasa tanggungjawab kerajaan negeri terhadap institusi yang dianggap sebagai ‘jantung’ masyarakat tersebut.

"Ingin saya jelaskan betapa kerajaan negeri sentiasa mengambil tanggungjawab dalam semua perkara dengan bersungguh-sungguh termasuklah memastikan pengurusan masjid di negeri ini berjalan baik dan sempurna.

"Jantung masyarakat ini perlu dijaga dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Imarahkanlah dengan majlis-majlis ilmu, selain solat lima waktu dan janganlah mengotorkannya dengan penyelewengan dan menyalahgunakan mimbar untuk kepentingan politik sempit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 hadirin yang terdiri daripada para imam dan ahli jawatankuasa masjid dalam majlis penyampaian sumbangan tersebut di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bersama-sama Toh Puan Temenggong, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff turut berkenan berangkat ke majlis berkenaan bagi merasmikan Program Ihya Ramadan anjuran anjuran Bahagian Dakwah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri.

Mengulas tentang program tersebut, Mukhriz berkata, pihak urus setia telah pun mengatur beberapa aktiviti di peringkat negeri dan daerah bagi membolehkan rakyat terlibat dengan banyak aktiviti berfaedah dan membawa kebaikan di sepanjang Ramadan.

"Antara aktiviti itu adalah majlis diskusi Ramadan, program peniaga bertakwa, solat sunat tarawih satu juzuk pada setiap malam, tadarus al-Quran dan qiamullail pada 10 malam terakhir yang akan dilangsungkan di Masjid Zahir di sini.

"Selain itu, akan diadakan juga kuliah Ramadan secara atas talian dengan kerjasama KedahFM pada setiap hari bekerja bermula 30 Jun depan hingga 24 Julai sebelum program ditutup majlis khatam al-Quran pada 24 Julai nanti," ujarnya.

Selain itu katanya, terdapat juga program sambutan Istiqbal Ramadan dijalankan di masjid-masjid terpilih yang akan ditentukan oleh pegawai agama daerah masing-masing dan sebarang maklumat tentangnya akan diumumkan kemudian.

Sumber:Utusan