Masjid Jangan Salah Guna Beras Fidyah

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
8fidyahJZNK mengagihkan sebanyak 11,910 kampit beras fidyah dengan setiap satu kampit seberat lima kilogram kepada 122 kariah masjid di daerah Kota Setar di pekarangan letak kereta Menara Zakat, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 8 Jun - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) menasihatkan pengurusan masjid di negeri ini agar menyalurkan beras fidyah kepada golongan fakir miskin dan tidak menggunakannya untuk kepentingan sendiri.

Setiausaha Jawatankuasa Zakat Negeri Kedah, Datuk Syeikh Ghazali Yaacob (gambar) berkata, setiap tahun JZNK mengagihkan beras fidyah kepada semua kariah masjid dan pengurusan masjid tersebut perlu memberikannya kepada golongan memerlukan.

"Beras fidyah yang diagihkan JZNK di seluruh masjid di negeri ini perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.

"Namun, terdapat kes pengurusan masjid menyalurkan beras fidyah ini kepada mereka yang tidak layak selain menggunakannya untuk program di masjid," katanya kepada pemberita selepas mengagihkan 11,910 kampit beras fidyah kepada 122 kariah masjid daerah Kota Setar di pekarangan letak kereta Menara Zakat di sini hari ini.

Jumlah keseluruhan beras fidyah yang disampaikan itu bernilai RM146,400.

Ghazali berkata, pada tahun ini JZNK mengagihkan sebanyak 35,555 kampit beras fidyah bernilai RM397,755.08 kepada 483 kariah masjid seluruh negeri ini.

"Beras fidyah ini mula diagihkan hari ini bermula dengan kariah masjid di daerah Kota Setar dan akan diagihkan ke daerah-daerah lain secara berperingkat sehingga 19 Jun ini," jelasnya.

Tambahnya, JZNK hanya membantu mengagihkan beras tersebut yang diberikan oleh masyarakat Islam yang wajib membayar fidyah di negeri ini.

Sumber:Utusan