Bidang Keusahawanan Sebagai Kerjaya Kepada Golongan Muda

8usahawan

KOTA KUALA MUDA  8 Jun – Usaha memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan muda untuk menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya selepas tamat pengajian perlu digerakkan secara berterusan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya, usaha tersebut amat penting dalam usaha memangkin perkembangan ekonomi, meningkatkan tahap inovasi dan kreativiti serta daya saing negara.

“Usaha menggerakkan kesedaran mengenai aktiviti keusahawanan itu penting bagi membolehkan mereka menjadikannya pilihan utama menikmati hasil kekayaan negara.

“Budaya keusahawanan harus dipupuk bermula dari peringkat sekolah sehingga ke pengajian tinggi termasuk melalui program, kursus, seminar atau aktiviti keusahawanan yang dapat memupuk minat dan mendorong masyarakat untuk menceburi bidang keusahawanan,” katanya pada majlis perasmian Karnival Keusahawanan 2014 Mini RTC di Kampung Keda Bukit Tukang Jusoh, di sini.

Tambahnya, amat penting budaya itu perlu disemai, dipupuk dan dimantapkan ke dalam jiwa golongan muda serta belia kerana generasi inilah yang akan menggerakkan usaha ke arah mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

“Pelbagai usaha dan inisiatif dipergiatkan oleh Kerajaan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan yang dinamik dan berdaya saing di negara ini. Usaha ini termasuk menyediakan peluang, sumber kewangan serta menyediakan program kemahiran serta keusahawanan kepada mereka yang berminat untuk memulakan perniagaan,” ujarnya.

YB. Ali Yahaya berkata, kerjaya usahawan juga merupakan bidang kerjaya yang mempunyai potensi yang cukup luas di samping dapat membantu mengatasi masalah-masalah sosioekonomi seperti pengangguran dan kemiskinan.

Beliau berkata, usahawan juga turut diingatkan supaya sentiasa bersedia menambah baik strategi selaras dengan perancangan dan pembangunan jangka panjang negara.

Sumber:UMTK