36 Masjid Dapat WIFI Percuma - YB NORSABRINA MOHD NOOR

9wifi 
ALOR SETAR 9 Jun – Selaras perkembangan pesat dunia teknologi maklumat dan informasi (ICT), sebanyak 36 masjid di seluruh negeri ini bakal dilengkapi kemudahan internet tanpa wayar (Wi-Fi) percuma menjelang penghujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, pemasangan Wi-Fi berkenaan bagi memudahkan proses komunikasi dan mendapatkan maklumat mengenai sistem atas talian kepada orang ramai.

“Kemudahan Wi-Fi ini disediakan sempena program e-masjid dan e-Kitab yang akan menyediakan pelbagai aplikasi untuk kemudahan orang ramai di mana pemasangannya akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri nanti.

“Menerusi kemudahan ini, secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai jemaah terutama golongan muda untuk mengimarahkan masjid,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Seminar Jalur Lebar Untuk Pembangunan Mampan di Auditorium Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jalan Kuala Kedah, di sini.

Menurutnya, Kerajaan Negeri kini giat merancang dan melaksanakan banyak aplikasi menggunakan jalur lebar bagi kemudahan rakyat untuk mengakses maklumat, malah Pusat Transformasi Digital Kedah di Bangunan UTC, di sini juga akan dilancar pada September 2014.

“Pusat transformasi ini berperanan sebagai Pusat Sehenti yang memberikan kemudahan internet untuk orang ramai mengakses pelbagai maklumat,” katanya.

Sumber:UMTK