Majukan Tanah Terbiar - Baling

23baling 
BALING 23 Jun – “Kira-kira 800 hektar tanah terbiar di daerah ini akan dibangunkan dengan pelbagai projek ekonomi supaya ia dapat dimanfaatkan rakyat pada masa hadapan,” kata Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Menurutnya, pelbagai cadangan sudah dikemukakan termasuk pelbagai bidang pertanian, perusahaan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pembangunan infrastruktur yang mampu merancakkan pembangunan di Daerah Baling.

“Antara beberapa cadangan dikemukakan termasuk perusahaan penanaman ubi kayu untuk penghasilan makanan haiwan dan kosmetik bagi tujuan eksport, penternakan lebah bagi menghasilkan madu kelulut, selain pembangunan infrastruktur seperti pembinaan kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM), hospital pakar dan sebuah Masjid Daerah yang boleh merancakkan ekonomi setempat.

“Melalui perbincangan dengan pihak Pejabat Daerah, pelbagai cadangan sudah dibangkitkan bagi memajukan daerah ini.  Kami mendapati keperluan untuk meningkatkan tarif ekonomi di Baling ini sangat tinggi kerana kebanyakan penduduk di kawasan ini bergantung kepada tanaman getah untuk sara hidup,” katanya pada majlis pelancaran Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Baling yang diadakan di Dataran Baling, di sini.

Beliau menjelaskan, apabila harga komoditi itu menurun ia memberi kesan besar terhadap ekonomi rakyat terutama yang tinggal di luar bandar yang bergantung hidup dengan punca menoreh.

Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri akan cuba memudahkan apa saja urusan bagi membantu menjayakan pembangunan Baling termasuk soal infrastruktur dan tanah bagi membangunkan pembangunan berkenaan.

Ujarnya, hasrat Kerajaan Negeri untuk membina sebuah Lapangan Terbang Antarabangsa di kawasan Sidam yang bersempadan antara Padang Serai dan Sungai Petani bertujuan meningkatkan pertumbuhan pesat kawasan Zon Utara.

“Kita tidak perlu bersaing dengan Pulau Pinang, tetapi kita bercadang membinanya untuk menampung perkhidmatan pesawat dan barangan sekaligus menjana ekonomi kepada rakyat,” katanya.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO); Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, YB. Dato’ Azmi Che Husain.

Sumber:UMTK