Kerajaan Kedah Akan Ambil Tindakan Tegas

17tindakan
ALOR SETAR 17 Jun - Kerajaan Negeri Kedah akan ambil tindakan undang-undang membabitkan kesalahan menyebarkan ajaran Syiah di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, tindakan itu akan dilaksanakan melalui peruntukan Rang Undang-Undang Enakmen Jenayah Syiah Kedah 2013 yang telah pun diwartakan.

“Enakmen itu akan dikuatkuasakan serta-merta dan kita akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat aduan dan laporan mengenai penyebaran ajaran yang menyimpang dari pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Selain enakmen itu, fatwa juga sudah ada. Penguatkuasaan sepenuhnya akan dilakukan demi menjaga kesucian agama Islam,” ujarnya.

Menurutnya, melalui pecahan Seksyen 9 dan 11 dalam enakmen itu, sekiranya mana-mana individu yang mengajar atau berdakwah ajaran yang menyalahi fatwa boleh diambil tindakan.

“Dalam enakmen ini bukan sahaja ditujukan terhadap ajaran fahaman Syiah, bahkan mana-mana ajaran saja yang jauh menyimpang daripada ajaran Islam boleh diambil tindakan. Jadi ia bersifat terbuka untuk Kerajaan Negeri mengeluarkan fatwa secara berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian persefahaman pembiayaan kos projek pemilikan hartanah dan pengubahsuaian francais Tune Hotel Alor Setar antara Kubang Pasu Hotel Services Sdn Bhd dan Bank Rakyat yang diadakan di Hotel Sentosa Regency, di sini.

Mengulas mengenai kegiatan kumpulan fahaman Syiah di Pendang yang mengadakan perhimpunan sempena memperingati hari kelahiran Saidina Hussein baru-baru ini, katanya, majlis anjuran kumpulan itu tidak mendapat sambutan.

“Kita cuba ambil tindakan menghalang perhimpunan itu dengan membuat laporan polis. Berdasarkan laporan dan maklumat, memang ada sambutan tetapi dalam kalangan mereka saja.

“Hanya perjumpaan biasa yang diadakan di rumah ketua mereka. Manakala rombongan dari negeri lain untuk ke acara itu membatalkan hasrat mereka untuk hadir,” ujarnya.

Sumber:UMTK